? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click "S BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Thursday, February 18, 2010

Terima Kasih Kerana...

Masuk sahaja ke bulan ini, saya mula mengumpulkan alamat rakan-rakan.


“Salam & Greetings. Kawan-kawan yang diingati, sila SMS/emailkan alamat. Terima kasih”.

Ayat ringkas yang saya sebarkan melalui SMS, yahoo group, dan melalui kemudahan personal message/email di Facebook. Agak meletihkan sebenarnya kerana saya menghubungi seorang demi seorang, bukan membuat pengumuman secara terbuka.

Pelbagai respon diterima. Ada yang diam seribu bahasa dengan sebab mereka yang tersendiri. Ada yang menjawab dengan alamat semata-mata. Ramai juga yang menghulurkan ucapan tahniah walaupun saya belum nyatakan tujuannya. Secara peribadi, mesej-minta-alamat itu telah membuat persahabatan lama yang hampir-hampir terabai lantaran kesibukan, mula bertaut semula. Sahabat-sahabat lama mula menghubungi, bukan sekadar memberi alamat tetapi bertukar cerita. Saya dihujani pelbagai soalan, dan topik utama adalah si dia.

‘Siapa calonnya?’

‘Orang mana?’

‘Kenal macamana?’

‘Aku kenal ke tak bakal hubby ko?’

Sekali imbas, saya terasa seperti tengah melalui zaman secret admire muda remaja. Saya menjawab setiap soalan di atas dengan ringkas, satu ayat untuk satu soalan.

‘Cerita la lagi maria….cerita la..’ masih belum berpuas hati.

‘Kalau nak kenal, datanglah.’ Itu ayat pancing saya.

Kadang-kadang ramai sahabat yang pernah bersama berkongsi bantal dan pinggan ‘tenggelam’ dalam komitmen yang semakin bertambah. Dipisahkan jarak, masa, dan kesibukan tetapi tetap disatukan dalam doa dan ingatan. Sekali-sekala begini, terasa seronoknya. Saya bahagia bila mengetahui yang hati-hati kami sebenarnya masih bertaut. Saya terasa seolah-olah mereka datang meraikan saya, walaupun tarikhnya belum tiba. Terima kasih semua.

Antara banyak-banyak email dan SMS, ada satu email yang mengusik perasaan saya dengan cara yang berbeza. Seseorang yang pernah menuntut ilmu sebumbung selama lima tahun tetapi tidak pernah berbual, kali ini membalas email ringkas saya dengan panjang lebar. Dengan bahasa yang tersusun dia meluahkan sesuatu yang tidak pernah saya ketahui. Perasaan yang disimpan bukan setahun dua. Malah setelah melangkah ke alam kerjaya, dia mengaku pernah berdiri di hadapan pintu pejabat saya, teragak-agak untuk mengetuk pintu, dan akhirnya dia balik begitu sahaja. Di hujung email dia mengucapkan tahniah, berpesan agar saya menjadi isteri yang solehah dan menyatakan yang lelaki yang bakal memiliki saya itu pastinya bertuah.

Email yang tak disangka-sangka itu membuat saya tergamam. Saya hargai dan berterima kasih atas kejujurannya. Saya anggap ia sebagai sejarah yang baru terbongkar. Bakai membaca diari lama, saya meniti semula kenangan yang tidak pernah saya simpan, berserta segala 'isyarat risikan' yang tidak pernah saya fahami. Mengharukan, namun tidak sekali-kali mengubah hati dan pendirian. Begitulah Allah mengatur kehidupan. Ada hikmahnya bila ada ‘sesuatu’ yang Allah kekal rahsiakan. Yang pasti, apa yang ditakdirkan, dan apa yang kita miliki adalah yang terbaik untuk kita. Perlu disyukuri dan dipelihara.


Saya hadiahkan ziarah kalian kali ini dengan lagu ini. Aku Bukan Untukmu dendangan Rossa. Sekali dengar bagai lagu cinta biasa. Dengarlah lagi dengan teliti kerana ia lagu tentang rasa tawakal, redha pada takdir yang ditentukan, bersama pesanan untuk setia dan memelihara apa yang Allah telah amanahkan untuk kita. Semoga dalam perjalanan kita meniti kehidupan, kita tidak lupa untuk terus melangkah ke hadapan walaupun sekali sekala menoleh ke masa silam. Menoleh untuk belajar dan muhasabah, bukan untuk terperangkap di dalamnya.

Friday, February 12, 2010

Semoga Dipermudahkan

Kisah 1

Sudah beberapa hari ‘bertapa’ di makmal dari pagi ke malam. Berbual dan berkawan hanya dengan HPLC. Baru mencari-cari kaedah dan parameter paling sesuai. Tiga hari pertama, sambil mengendalikan paralatan, saya menjalani ‘online consultancy’. Terima kasih khas untuk HPLC-mate saya.

Tahun lepas, ketika saya mula melakukan pembacaan tentang segala perkara berkaitan keadah analisis untuk komponen penting projek mega saya ini, saya memberanikan diri untuk menghubungi seorang Profesor jauh di Timur Tengah untuk bertanyakan beberapa kemusykilan. Berkenalan hanya di layar maya dan hasil tulisan yang diterbitkan. Prof Hassan hingga hari ini masih sudi dan menggalakkan saya berbincang dengan beliau. Keikhlasan beliau terserlah dalam setiap emel yang dikirimkan.

Keep me updated’. Kata-kata itu mengingatkan saya pada insan-insan cemerlang yang saya temui sepanjang melakukan penyelidikan untuk Ijazah Sarjana saya. Puan Ramlah, Kak Efi, Dr. Ho dan Dr. Amran; mereka banyak membantu menyelesaikan masalah-masalah teknikal di luar bidang kepakaran penyelia saya. Mereka sudi meluangkan masa berkongsi ilmu walaupun saya tidak ada kepentingan dalam perkembangan karier mereka. Saya hanya mampu membalas dengan doa. Semoga Allah mempermudahkan semua urusan mereka dunia dan akhirat.

Kisah 2

Pada hari pertama saya sampai ke kampus ini, saya hanya berteman seorang pemandu teksi. Setelah membayar tambang, saya mengangkat dua buah beg pakaian dan empat buah kotak seorang diri. Mereka yang lalu lalang hanya sekadar melihat sahaja, sibuk dengan urusan sendiri.

‘Akak bilik mana? Biar saya tolong’, kedengaran suara menyapa mesra.

Kami berkenalan dan saya tidak menolak pertolongannya. Maklum saja, hari tersebut saya memulakan perjalanan seawal selepas subuh, transit 2 jam di KLIA, kemudian menyambung semula perjalanan ke sini dan tiba tepat pada masa azan Asar berkumandang. Saya memang terlalu keletihan dan memerlukan bantuan.

Dia memperkenalkan diri sebagai Falah. Dia menerangkan serba sedikit perkara yang perlu saya tahu; bagaimana untuk ke bandar terdekat, di mana saya boleh mendapatkan barang keperluan asas dan sebagainya. Sejak hari itu, kami akan bertukar senyum dan saling menyapa apabila bertemu. Jika ada kesempatan, kami akan saling bertukar cerita. Setiap kali memandangnya, hati saya berdetik ‘Baik budak ni. Ya Allah, mudahkanlah semua urusan Falah, dunia dan akhirat’.

Thanks Falah. Falah orang pertama yang jadi kawan akak kat sini, dan Falah satu-satunya orang yang tolong akak masa akak mula-mula sampai dulu. Minta maaf banyak-banyak ye, kalau akak ada buat apa-apa yang tak kena,’ itu yang saya ucapkan ketika mendakapnya beberapa bulan lepas. Pada masa itu, saya menemuinya ketika dia ingin balik bercuti panjang sebelum mendaftar untuk pengajian Sarjana.

Siapa sangka, pagi semalam, gadis ceria yang ringan tulang dan mudah tersenyum itu telah pergi selama-lamanya. Saya tergamam ketika mendengar berita buruk itu. Baru dua hari lepas kami bertegur sapa dan dia masih dengan watak yang ceria. Sungguh, daripadaNya kita datang dan kepadaNya kita kembali. Melihat keadaan tempat kejadian, dengan kasut yang tertanggal dan helmet yang terbelah sudah cukup meruntun hati sesiapa sahaja. Semoga dia syahid dalam perjalanan menuntut ilmu. Saya akan sentiasa mengenangnya. Ya Allah, mudahkanlah urusan Falah di sana.

Tuesday, February 2, 2010

Kenangan

Sementara menanti giliran untuk menggunakan peralatan makmal, saya mengambil kesempatan ‘menziarahi’ Facebook. Ada tag album dari sahabat lama yang diberi tajuk ‘Sebelum kita jadi setua ini’. Saya tersenyum dan tergelak sendiri menatap satu persatu wajah yang dirakam 13 tahun lalu. Sesekali bergenang airmata mengenangkan ada antara pemilik wajah itu kini telah meninggalkan kita semua. Arwah Faizal, Maryam, Joery dan Jonathan, yang pernah sama-sama jatuh bangun satu ketika dahulu sudah tentu tersemat dalam ingatan.

Sedar tak sedar, dalam perjalanan kehidupan, kita sentiasa bertemu dengan pelbagai jenis kawan dan sahabat. Datang dan pergi, pergi kemudian berganti, namun tak kurang yang datang dan terus menemani. Ada yang jauh, tak kurang juga yang dekat. Ada yang jauh tetapi terasa sangat dekat, ada yang kelihatan rapat namun hakikatnya hati terpisah jauh. Ada juga yang hanya sempat bersua beberapa ketika, namun berjaya meninggalkan kesan mendalam yang mengubah kehidupan kita. Begitulah perjalanan sebuah persahabatan.

Bila berbicara tentang persahabatan, saya terkenang seseorang. Beberapa minggu lepas dia menyapa memperkenalkan diri. Saya agak terewat membalas SMS tetapi perkenalan tetap diterima dengan hati yang terbuka. Daripada perkenalan serba sederhana, kami menjadi ‘sahabat pena’; berbalas SMS, berbalas email, chatting, berbual telefon, malah bertukar gambar. Belum pernah bersua, namun tidak lekang idea untuk berkongsi cerita dan rasa hati. Dalam perkenalan singkat, dia telah menjadi ‘peti simpanan rahsia’ untuk koleksi cerita yang hanya dikongsi dengan sesetengah sahabat. Kami juga ada senarai vocabulary yang tidak akan difahami sesiapa. Si cantik manis ini sedang menghitung detik menuju hari bahagia. Debaran itu saya kongsi bersamanya. Semoga semuanya dipermudahkan.

Entri serba ringkas kali ini saya hadiahkan untuknya, sempena genap sebulan perkenalan. Kali ini mungkin tidak ada lawak jenaka spontan yang boleh membuatnya tertawa. Namun jauh disudut hati saya berdoa, agar kehadiran saya dalam hidupnya memberi kesan dan kebaikan yang significant. Semoga dia dilimpahi rahmat dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Amin.

Wednesday, January 13, 2010

Ciri-ciri Isteri Solehah

Seminggu selepas 31 Nov, ketika saya berSMS dengan Kak Ngah kesayangan kami, saya mengadukan kebimbangan menjelang transit ke alam rumahtangga.
" Explore tips rumahtangga bahagia, hafal doa-doa yang perlu dan sentiasa ingat yang pasangan kita tidak sempurna" antara nasihat Kak Ngah.
" Rumahtanga ni ada macam-macam ujiannya. Tapi panduan telah ada. Syurga destinasi terakhir. Jangan lupa!" Kak Ngah menambah.
Sejak kebelakangan ini, dalam setiap kesempatan saya cuba mencari bahan rujukan. Ini antara artikel yang menarik untuk dikongsi bersama. Credit untuk laman web ini.


Ciri Isteri Solehah

Dalam sebuah hadis yang Rasulullah S.A.W bersabda:
"Mahukah kamu aku beritahu dari hal sebaik-baik barang yang perlu disimpan oleh seorang lelaki?" Iaitu isteri yang solehah. Jika suami melihat kepadanya dia akan gembira , jika suaminya menyuruh sesuatu dia akan taati dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya dan memelihara kehormatan dirinya." (HR:Ibnu Majah)

Daripada Imam Ahmad dan Imam Muslim, daripada Umar r.a., Rasulullah S.A.W bersabda :
"Bermula dunia ini ialah kesukaan dan keseronokan dan sebaik-baik kesukaan itu ialah perempuan yang solehah."

Isteri yang solehah itu selalu memerhatikan akan tanggungjawabnya sebagai isteri, ia hanya berbuat sesuai dengan ketentuan Allah. Di antara ciri-ciri isteri solehah itu ialah bertanggungjawab terhadap kerja-kerjanya.

Pada dasarnya kewajipan isteri solehah itu ialah:

1. Patuh dan taat kepada suami yang soleh

Rumahtangga bahagia sebenarnya terletak pada isteri yang solehah. Ia taat kepada perintah Allah dan Rasul serta setia kepada suami yang soleh.

"Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya) di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka..." (Surah An-Nisa':34)

Isteri yang solehah itu di samping patuh kepada perintah Allah dan Rasulullah S.A.W, ia patuh terhadap suaminya dan menyimpan segala rahsia baik di luar rumah mahupun di dalam rumah. Ia selalu tersenyum dan menunjukkan muka manis terhadap suaminya. Tabiatnya yang baik itu menambah kasih sayang suaminya terhadapnya. Ia tidak pernah membantah kata-kata suaminya yag baik, semuanya dikerjakan dengan patuh kerana Allah.

Isteri yang baik apabila berkata dengan suaminya dengan suara yang lemah lembut dan penuh kesopanan . Begitu pula tidak boleh memerintah kepada suami, kecuali diucapkan dengan suatu yang baik sebagai suatu pertolongan. Walau bagaimanapun, ketaatan isteri terhadap suami tidak dalam semua perkara. Sekiranya perintah suami boleh membawa dosa, maka isteri dibenarkan membantah.

Rasululllah S.A.W bersabda,
"Jika diizinkan seorang manusia sujud kepada manusia,tentu aku akan suruh wanita-wanita sujud kepada suaminya lantaran begitu besar Allah jadikan hak lelaki keatas wanita"

2. Menguruskan rumahtangga

Seorang isteri Muslimah disuruh oleh Allah agar sentiasa berada dirumah dan tidak boleh pergi kemana-mana sesuka hati tanpa izin suami. Duduk di rumah bukan bererti hanya berdiam diri sahaja tetapi mengerjakan tugas sebagai isteri. Hikmah daripada perintah Allah tersebut iaitu, supaya para isteri dapat menjaga dan mendidik anak secara lebih sempurna ketika suami mencari rezeki. Disamping itu isteri dapat melakukan pekerjaan rumah seperti menghias rumah dan sebagainya.Walaupun ianya nampak remeh, tetapi ianya amat bermanfaat untuk menjamin keharmonian keluarga.

3. Berhias untuk suami

Menghias diri merupakan kegemaran wanita. Namun kadangkala wanita yang tidak faham akan kewajipannya,ia berhias diri ketika akan keluar rumah. Tetapi ketika di rumah ia dalam keadaan tidak bersih, kadangkala rambutnya pun tidak terurus. Padahal di dalam Islam menganjurkan supaya isteri berhias hanya untuk suami.

Tujuan isteri berhias ketika di rumah ialah supaya suami terhibur. Jika suami pulang dari tempat kerja dalam keadaan letih dengan melihat isteri dalam keadaan berseri-seri serta pakaian yang bersih, maka ia menjadi penawar kepada suami. Sehingga keletihan dalam mencari rezeki tadi menjadi hilang, dan bertambahlah kasih sayangnya terhadap isteri.

Sabda Rasulullah SAW:
"Dari Jabir ra. Ia berkata: Kami pernah pergi bersama-sama Rasulullah di dalam satu peperangan. Ketika kami sampai ke Madinah, kami ingin masuk ke rumah masing-masing. Maka Rasulullah SAW pun bersabda: Bersabarlah, iaitu masuklah pada waktu malam iaitu selepas Isyak, supaya isteri dapat bersikat rambutnya yang kusut dan supaya ia dapat berhias kerana telah lama telah ditinggalkan suaminya." (HR:Muttafaqun Alaihi)

Berhias bukan sahaja bagi menyambut kepulangan suami dari tempat kerja tetapi juga ketika suami ada di rumah. Wanita Islam hanya boleh berhias untuk dirinya sendiri dan untuk suaminya. Berhias mestilah dilakukan secara besederhana, kerana tujuan berhias agar ia kelihatan bersih dan senang dilihat oleh suami.

4. Melayani suami

Hubungan seks merupakan penawar kebahagiaan rumahtangga. Ia dipandang sebagai punca keharmonian rumahtangga. Oleh sebab itu isteri hendaklah memberikan layanan yang baik kepada suami dan tidak boleh menolak kemahuan suaminya .

Seorang isteri akan dikutuk oleh malaikat apabila ia menolak kemahuan suaminya sehinggalah suaminya reda kepadanya. Mungkin dalam keadaan tertentu isteri boleh menolak kemahuan suaminya seperti dalam keadaan sakit, atau dalam keadaan yang dilarang oleh syara' untuk melakukan persetubuhan seperti dalam keadaan haid dan sebagainya.

5. Berpakaian menurut ajaran Islam

Isteri yang menutup auratnya merupakan isteri yang solehah, ramai wanita pada zaman sekarang ini yang berpakaian tetapi telanjang kerana ia menutup bahagian tertentu sahaja, kalau menutup semua pun tetapi bentuk badannya tetap nampak jelas.

Allah SWT berfirman, ertinya:
"Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah sebagai perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat." (Surah Al-A'raar:26)

Jilbab merupakan satu fesyen pakaian wanta Islam yang menutup tubuh atau sebahagian besar badan wanita di sebelah atas, kecuali muka dan tapak tangan. Jilbab tidak menampakkan tubuh badan. Allah memerintahkan supaya berpakaian demikian supaya dapat membezakan antara wanita beriman dan tidak beriman, ia juga supaya terhindar dari golongan munafik.

Firman Allah yang bermaksud:
"Hai Nabi, katakanlah kepada isteri- isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan Jilbab mereka ke seluruh tubuh mereka."Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Penganmpun lagi Maha Penyayang." (Surah Al-Ahzab:59)

6. Memberi motivasi terhadap cita-cita suami

Isteri yang solehah adalah isteri yang mahu menjadi teman berunding bagi suami dan menjadi sahabat dalam menyelesaikan pelbagai masalah. Itulah hubungan suami isteri itu diertikan orang sebagai "teman hidup". Jika suami menghadapi masalah untuk mencapai cita-citanya dan cita-cita keluarga maka bermotivasilah kepadanya dan hiburkanlah hatinya. Isteri teladan disamping ia memberi dorongan dan bermotivasi kepada suami ia juga merupakan sumber ilham bagi suami. Ini membuatkan hati suami tenteram apabila bersama isteri dan segala masalah dihadapinya bersama-sama.

Di antara ciri-ciri isteri solehah yang lain ialah:
-Mentaati Allah SWT dan mengerjakan segala perintah suami selagi tidak melanggar perintah Allah.
-Tidak mengkhianati dan berlaku curang terhadapnya ketika ketiadaan suami.
-Bersyukur di atas apa yang disediakan oleh suami.
-Sentiasa menghormati keluarga suami .
-Tidak berpuasa sunat tanpa kebenaran suami.
-Tidak keluar rumah kecuali dengan izin suami.
-Sentiasa menyerahkan diri kepadanya apabila ia memerlukannya.
-Memakai wangi-wangian di hadapan suami.
-Menjaga mulut daripada bau-bauan yang tidak menyenangkan.
-Berdiam diri ketika suami sedang berkata-kata, baru berbicara setelah suami selesai berbicara.
-Berdiri tegak sebagai tanda hormat semasa ia datang dan pergi.
-Bersikap malu terhadap suami.

Saturday, December 26, 2009

Sejenak

Hari ini saya belajar bahawa kadang-kadang Allah menunaikan permintaan kita sebelum kita sempat memohon bersungguh-sungguh kepadaNya. Segala puji bagi Allah.
'Nikmat mana lagi yang hendak kamu dustakan'. Peringatan yang Allah sebutkan berkali-kali dalam Surah Ar-Rahman.
Ya Allah, bantu kami untuk mensyukuri nikmatMu.

Thursday, December 17, 2009

Salam Maal Hijrah 1431H

Doa akhir Tahun

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Semoga Allah melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungan kami nabi Muhammad SAW,beserta para keluarga dan sahabatnya.
Ya Allah, segala yang telah ku kerjakan selama tahun ini dari apa yang menjadi larangan-Mu, sedang aku belum bertaubat,padahal Engkau tidak melupakannya dan Engkau bersabar (dengan kasih sayang-Mu), yang sesungguhnya Engkau berkuasa memberikan siksa untukku, dan Engkau telah mengajakku untuk bertaubat sesudah melakukan maksiat.Kerana itu ya Allah, aku mohon ampunan-Mu dan berilah ampunan kepadaku dengan kemurahan-Mu.
Segala apa yang telah aku kerjakan, selama tahun ini, berupa amal perbuatan yang Engkau ridhai dan Engkau janjikan akan membalasnya dengan pahala, aku mohon kepada-Mu, wahai Dzat YangMaha Pemurah, wahai Dzat Yang Mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan,semoga berkenan menerima amalku dan semoga Engkau tidak memutuskan harapanku kepada-Mu, wahai Dzat Yang MahaPemurah.
Dan semoga Allah memberikan rahmat dan kesejahteraan atas penghulu kami Muhammad,keluarga dan sahabatnya.
Amin yaa rabbal 'alamin.

Doa Awal tahun

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.Semoga Allah senantiasa melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungan kami Nabi Muhammad SAW, beserta keluarga dan sahabatnya.Ya Allah Engkaulah Yang Abadi, Dahulu, lagi Awal. Dan hanya kepada anugerah-Mu yang Agung dan Kedermawanan-Mu tempat bergantung.Dan ini tahun baru benar-benar telah datang. Kami memohon kepada-Mu perlindungan dalam tahun ini dari (godaan) setan, kekasih-kekasihnya dan bala tentaranya.Dan kami memohon pertolongan untuk mengalahkan hawa nafsu amarah yang mengajak pada kejahatan,agar kami sibuk melakukan amal yang dapat mendekatkan diri kami kepada-Mu wahai Dzat yang memiliki Keagungan dan Kemuliaan.Semoga Allah senantiasa melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada junjungankami Nabi Muhammad SAW,beserta para keluarganya dan sahabatnya.
Saya tidak dapat merekodkan sumber doa tersebut. Terima kasih kepada penulis yang sudi berkongsi.Menitis airmata ketika melafazkannya. Penuh makna.

Mengungkapkan doa akhir tahun, bagai mengimbas semula segala apa yang dilakukan sepanjang tempoh setahun. Banyaknya kekurangan dan dosa. Hati berharap sepenuhnya keampunan dari Allah yang Maha Pengampun. Terasa kecilnya dan malunya diri ketika meminta belas ihsan agar amal yang sedikit itu Allah terima.

Melafazkan doa awal tahun itu sebenarnya ikrar untuk kita. Seorang muslim yang mahu cemerlang tentunya bukan sahaja memohon melalui doa, tetapi setiap yang diminta itu perlu diiringi usaha dan perjuangan yang sewajarnya. Semoga tahun ini kita lebih kuat untuk menentang kejahatan syaitan dan nafsu sendiri, serta lebih bersungguh-sungguh dalam beramal ibadah.

Selamat menyambut tahun baru 1431H. Semoga pada tahun ini kita semua lebih cemerlang sebagai hamba Allah, dan sebagai khalifahNya, sebagai manusia yang banyak peranannya. Kalau bukan cemerlang tahun ini, bila lagi agaknya. 1432H dan seterusnya mungkin akan datang, namun belum tentu kita masih berada didalamnya.

Monday, December 7, 2009

Tak Sempurna

Ketika ‘mengemas’ dokumen di dalam laptop sebentar tadi, saya menemui satu ‘artikel’ yang saya copy dan simpan dua tahun lepas. Saya mengambilnya dari blog seorang yang saya anggap kawan, yang saya segani sebagai seorang kakak. Ia tentang saya. Kemarahannya dan segala rasa menyampahnya terhadap saya diluahkan. Tajuknya sahaja sudah membuat jantung saya terhenti beberapa saat, apatah lagi membaca setiap potongan ayat di dalamnya.

Saya menangis ketika membaca dan memahaminya buat pertama kali. Dan lebih surprise, setelah lebih dua tahun, saya menangis lagi ketika membacanya sebentar tadi. Bukan marah pada si penulis. Tetapi saya kesal kerana banyak yang berlaku ada penjelasan tersendiri tetapi saya tidak diberi satu pun peluang untuk membela diri. Mungkin memang saya yang bersalah, tetapi dia tidak pernah sekalipun cuba menegur atau memperbetulkan saya atau memarahi saya, sebaliknya mencanang cerita di dalam blog peribadinya yang sentiasa dibaca oleh mereka disekeliling kami. Beberapa hari selepas saya menemui tanpa sengaja entri tersebut, saya malu untuk mengangkat muka memandang rakan-rakan sekerja kami.

Saya kurang pasti kenapa kesan peristiwa itu permanent di dalam hati saya. Sedangkan saya juga pernah diketawakan dan diperlekehkan di dalam sebuah mesyuarat atas kesilapan yang langsung tidak saya lakukan. Ketika itu juga saya tidak sempat mengatakan yang saya tidak kena mengena dengan apa yang mereka perkatakan kerana ‘serangan’ datang bertubi-tubi. Ia lebih memalukan tetapi peliknya rasa sakit akibat perkara itu tidak berulang-ulang walaupun sentiasa dalam ingatan. Kesan 'luka’ akibat perkara tersebut parutnya tidak sedalam ‘luka’ yang disebabkan oleh sebuah entri dalam blog seorang kawan. Kenapa agaknya?

Apapun, Allah mungkin tengah mengingatkan saya bahawa saya tidak sempurna. Ya, saya tidak sempurna. Tidak pernah lari dari melalukan kesilapan.